Isnin, 27 Januari 2014

UPACARA PENYERAHAN BANTUAN KERUSI RODA KEPADA PELAJAR PPKI SK KABARUS

SK KABARUS terbaik!!!
         Upacara penyerahan bantuan kerusi roda kepada adik Iman Iskandar bin Badrul Hisham dari kelas PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) SK KABARUS ini telah disempurnakan oleh Puan Rashidah binti Ismail selaku Penolong Pengarah 3PK Bahagian Pendidikan Khas KPM. Upacara ini telah diadakan pada 23 Januari 2014 (Khamis) di dewan terbuka SK KABARUS dengan turut disaksikan oleh pihak pentadbir sekolah dan para guru PPKI. Bantuan ini adalah sumbangan dari pihak USM (Bahagian Pendidikan Khas) di mana kerusi roda ini mengikut spesifikasi bagi keperluan seorang OKU. Diharapkan dengan penerimaan kerusi roda ini akan dapat memudahkan pergerakan adik Iman Iskandar di sekolah dan di rumah serta dapat menjadikannya seorang yang boleh berdikari seterusnya dapat meringankan beban Encik Badrul Hisham sekeluarga dalam menguruskan anugerah teristimewa anak OKU yang comel ini.
Upacara penyerahan kerusi roda kepada adik Iman Iskandar oleh Puan Rashidah Ismail
Prihatin...Puan Rashidah Ismail membetulkan kedudukan adik Iman Iskandar 
di atas kerusi roda sambil diperhatikan oleh guru besar dan para guru PPKI SK KABARUS

Sabtu, 25 Januari 2014

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2014 PERINGKAT SK KABARUS

Doa kesyukuran SK KABARUS sempena sambutan Maulidur Rasul 2014
        SK KABARUS telah merayakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dengan penuh meriahnya pada 21 Januari 2014 (Selasa) bersamaan 19 Rabiulawal 1435 H. Majlis dimulakan dengan para pelajar berkumpul di dewan terbuka SK KABARUS di mana taklimat perjalanan majlis telah diberikan oleh guru bertugas. 
          Pada kira-kira jam 8.30 pagi, para pelajar beratur mengikut kelas/ kumpulan masing-masing dengan membawa sepanduk/ tanda nama Nabi Muhammad S.A.W diiringi oleh guru kelas masing-masing sebelum berarak keluar dari kawasan sekolah sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Perarakan mengambil masa kira-kira 1 jam sebelum perarakan masuk semula ke kawasan sekolah.
        Setelah bersarapan pagi, para pelajar berkumpul semula di dewan untuk mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Amin Faisal yang didatangkan khas dari SMK IMTIAZ Kuala Terengganu dengan ceramahnya yang berkaitan dengan Maulidur Rasul. Ceramah telah diselangselikan dengan beberapa video yang sangat menarik perhatian para pelajar SK KABARUS.
       Sebelum bersurai, majlis penyampaian hadiah untuk pemenang perarakan Maulidur Rasul disempurnakan sejurus selesainya ceramah dari penceramah jemputan kira-kira pada jam 12.15 pm.
Para guru/staf SK KABARUS bergambar beramai-ramai sebelum majlis sambutan Maulidur Rasul bermula
Berikut di antara foto-foto di sepanjang sambutan majlis Maulidur Rasul 2014 SK KABARUS : 
(1) Sebelum perarakan bermula (dalam kawasan sekolah)
                    
(2) Sepanjang perarakan (di luar kawasan sekolah)
 
 
(3) Penyampaian cenderahati oleh guru besar kepada petugas perarakan Maulidur Rasul dan PIBG
  
(4) Sepanjang ceramah Maulidur Rasul di dewan terbuka SK KABARUS
 
 
By KABARUSBlogger

Selasa, 14 Januari 2014

MAJLIS TEMU MURNI & PENETAPAN TARGET UPSR 2014 SK KABARUS

     Majlis ini telah diadakan pada 09 Januari 2014 (Khamis) di dewan terbuka SK KABARUS dan telah dirasmikan oleh YM Hj. Tg. Azelam b. Tg. Abdullah yang merupakan Penolong Pegawai PPDKT bahagian Unit Pengurusan Sekolah. Ibu bapa/ penjaga pelajar tahun 6 turut sama-sama dijemput menghadiri majlis ini di mana kedatangan mereka adalah sangat menggalakkan.
     Objektif utama majlis ini adalah :
1. Memupuk hubungan ibu bapa/ guru/ pelajar dengan lebih erat.
2. Pelajar mendapat bimbingan secara khusus dan ekslusif dari guru.
3. Dapat membina jati diri pelajar.
4. Memupuk visi dan misi yang sama di antara ibu bapa/ guru/ pelajar.
5. Meningkatkan prestasi UPSR 2014 SK KABARUS.
     Setelah selesainya pendaftaran ibu bapa/ penjaga, majlis dimulakan dengan kata aluan pengerusi majlis dan bacaan doa sebelum diikuti oleh ucapan dari guru besar dan YDP PIBG SK KABARUS sebelum ucapan panjang lebar dari perasmi jemputan.
     Seterusnya, taklimat program UPSR 2014 telah disampaikan oleh penyelaras UPSR SK KABARUS iaitu cikgu Mohd. Ramdzan bin Hanipiah sebelum ke upacara penyerahan mentor mentee iaitu penyerahan para pelajar UPSR 2014 kepada ibu bapa angkat mereka yang merupakan para guru SK KABARUS sendiri.
    Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab di antara ibu bapa/ penjaga para pelajar UPSR 2014 dengan pihak pengurusan sekolah.

    
Ucapan pembukaan oleh guru besar dan YDP PIBG SK KABARUS
   
                           Ucapan perasmian oleh YM Hj. Tg. Azelam b. Tg. Abdullah dan                                taklimat program UPSR 2014 oleh penyelaras tahun 6, cikgu Ramdzan b. Hanipiah
   
Membanggakan..di antara ibu bapa/ penjaga yang tidak melepaskan peluang 
untuk menghadirkan diri dan bersama-sama dengan anak masing-masing
   
Upacara penyerahan mentee kepada mentor masing-masing
Cenderahati turut disampaikan oleh guru besar SK KABARUS kepada perasmi jemputan
                                                                                                          By KABARUSBLOGGER

Isnin, 6 Januari 2014

SYABAS & TAHNIAH! DI ATAS KEJAYAAN YANG MENGHARUMKAN NAMA SK KABARUS

Best..SK KABARUS boleh!!!
       Sekalung tahniah diucapkan kepada adik Najibah binti Dahalan, pelajar tahun 6 2014 SK KABARUS di atas kejayaan merangkul hadiah saguhati peringkat kebangsaan sempena 'Pertandingan Menulis Surat 1 Malaysia 2013' kepada Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib bin Abdul Razak anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pos Malaysia Berhad (PMB).
     Pertandingan yang telah disertai ini merupakan kategori A iaitu peringkat sekolah rendah seluruh Malaysia dengan menulis sepucuk surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk menyatakan rasa sayang kepada negara Malaysia dengan bilangan patah perkataan karangan adalah di antara 100 hingga 300 patah perkataan yang telah bermula pada 15 April 2013 sehingga 31 Julai 2013.
        Di antara hadiah saguhati yang dimenangi adalah baucer wang tunai berjumlah RM200, sebuah album untuk mengisi setem, sijil penghargaan, hadiah iringan dari SKMM dan PMB di samping hadiah utama berupa sebuah netbook 1 Malaysia.

Guru besar menyampaikan netbook 1 Malaysia beserta sijil penghargaan dan hadiah iringan yang dimenangi kepada adik Najibah di dewan SK KABARUS
Guru besar turut menyampaikan cenderahati kepada Cikgu Azahar bin Ngah yang merupakan mentor untuk 'Pertandingan Menulis Surat 1 Malaysia 2013' kepada Perdana Menteri Malaysia

                                                                                    By KABARUSBLOGGER