Rabu, 28 Mei 2014

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 2014 PERINGKAT SEKOLAH

      Sambutan hari guru 2014 telah diadakan serentak di kesemua sekolah negeri Terengganu pada 18 Mei 2014 (Ahad) baru-baru ini dengan temanya "Guru : Pecetus Kreativiti, Penjana Inovasi". SK KABARUS turut menyambutnya dengan penuh meriah dan bermakna dengan aktiviti-aktiviti yang telah disusun sempurna oleh pihak pengurusan sekolah. Seperti kebiasaannya pada sebelah pagi, perhimpunan pagi pada kali ini ada kelainannya di mana ia turut memuatkan bacaan perutusan sempena hari guru oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan Pengarah Pelajaran Malaysia, ikrar hari guru, nyanyian lagu tema hari guru dan pemotongan kek sempena sambutan hari guru 2014 serta cabutan bertuah 4 tiket untuk makan tengahari bersama guru besar SK KABARUS.
      Majlis berehat seketika sebelum program sukaneka di kalangan para guru SK KABARUS dimulakan selama hampir 1 jam dengan meriahnya yang membawakan permainan menarik secara berkumpulan seperti membawa gelang getah dengan 'straw' menggunakan mulut, membawa belon yang telah ditiupkan dengan badan dan mengisi air ke dalam seruling gergasi dengan disaksikan oleh para pelajar SK KABARUS. Seterusnya, persembahan pentas oleh para pelajar SK KABARUS diteruskan di dewan terbuka SK KABARUS dan ianya menjadi bertambah gamat apabila GPK HEM SK KABARUS iaitu Pn. Laila turut membuat persembahan dengan menyampaikan sebuah lagu bertajuk "Belaian Jiwa" diikuti persembahan lagu secara duet seterusnya disampaikan oleh cikgu Ramdzan dan cikgu Erdawati dengan lagunya yang bertajuk "Jangan Pisahkan".
       Cabutan nombor untuk pertukaran hadiah di kalangan guru dan staf SK KABARUS kemudiannya dimulakan di mana setiap hadiah hendaklah disediakan oleh setiap guru dan staf dalam lingkungan harga yang telah ditetapkan sebelum hadiah-hadiah tersebut dikumpul dan ditukarkan antara satu sama lain. Di akhir majlis, semua guru dan staf SK KABARUS dijemput untuk menjamu selera sempena sambutan hari guru peringkat sekolah 2014 ini. Program-program yang telah disusun sempena sambutan hari guru 2014 ini sedikit sebanyak telah dapat menambahkan ikatan ukhwah di kalangan warga SK KABARUS iaitu para pelajar, para guru dan staf khasnya.
Ucapan Ketua Murid, Guru Besar dan YDP PIBG SK KABARUS
 
Perutusan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan Pengarah Pelajaran Malaysia dibacakan oleh GPK1 dan GPK KOKU SK KABARUS
Ikrar para guru dan nyanyian lagu hari guru oleh para guru SK KABARUS
Pemotongan kek hari guru dan cabutan bertuah untuk makan tengahari bersama Guru Besar
Para guru dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk permainan sukaneka
Permainan membawa gelung getah menggunakan 'straw'
Permainan membawa belon menggunakan badan
Permainan mengisi air ke dalam seruling gergasi
Persembahan nasyid para pelajar tahap 2 SK KABARUS
Persembahan yang sangat menghiburkan dari Pn. Laila dan pasangan duet Cikgu Ramdzan dan Cikgu Erdawati
Cabutan nombor untuk pertukaran hadiah di kalangan guru dan staf SK KABARUS..hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Guru Besar kepada para penerima masing-masing

Bank Rakyat turut meraikan sambutan hari guru 2014 SK KABARUS dengan pemberian beberapa cenderamata  serta kek selamat hari guru kepada pihak sekolah 
 
                                                                                                         byKABARUSBlogger

Tiada ulasan:

Catat Ulasan